Monday, 28 October 2013

Realiti cerita disebalik cerita


Filem pendek merupakan medium yang digunakan oleh ramai masyarakat zaman kini dalam menzahirkan idea-idea atau mesej-mesej mereka secara tidak lansung kepada seluruh masyarakat. Namun melalui idea-idea kreatif ini, tidak semua individu dapat mentafsir atau menilai semua mesej yang ingin disampaikan. Apakah sebenarnya kisah disebalik kesemua filem pendek yang telah dihasilkan? Adakah masyarakat mampu menyingkap perkara sebenar yang berselindung disebalik jalan cerita yang mengelirukan ini? Hanya golongan yang gemar melakukan pemikiran secara kritikal dan berpandangan jauh sahaja yang mungkin dapat merungkai segala pertanyaan serta isi-isi tersurat dan tersirat yang dimaksudkan.

Sebagai contoh, penghasilan filem pendek daripada negara Iran seperti 2+2=5. Antara petikan skrip dari filem pendek itu adalah, “This is today first lesson. Two plus two equal to five. Repeat after me. 2+2=5,” kata seorang guru dengan tegas yang memulakan sesi pembelajaran mengenai proses pengiraan yang diajar kepada anak-anak muridnya. Berdasarkan jalan cerita yang ingin disampaikan oleh pengarah, walaupun proses pengiraan yang dilakukan oleh seorang guru di sebuah sekolah tidak begitu relevan dan ternyata salah dari segi konsepnya, tidak ada seorang pelajar pun yang boleh menentang apa yang diajarnya. Setiap pelajar yang ada di dalam kelas itu terpaksa mengikut dan patuh dengan apa yang diajar oleh guru mereka. Sesiapa yang tidak mempersetujui  dan menentang dengan idea yang diutarakan pasti akan menerima pengajaran atau lebih jelas dipaparkan adalah adegan dikenakan hukuman mati. Bertambah-tambah pelik dan musykil kepada sesiapa yang menontonnya kerana dengan hanya membetulkan kesilapan yang jelas, seseorang pelajar itu dikenakan hukuman mati.


Hakikatnya, perkara sebenar disebalik filem pendek ini lebih menyentuh tentang isu-isu politik yang bergolak di negara Iran yang  oleh masyarakat di negara itu. Pemerintahan sesebuah kerajaan kuku besi menyebabkan masyarakat terpaksa mematuhi apa sahaja dasar-dasar yang diperkenalkan dan kepada sesiapa yang menentang dasar tersebut, hukuman mati akan diberikan kepada mereka. Idea tersirat pengarah ini ternyata berkesan dan boleh dikatakan amat bijak kerana disampaikan dalam dalam bentuk filem pendek.


Ternyata dari petikan cerita 2+2=5, keunggulan filem pendek berjaya membuka mata seluruh masyarakat serta meletakkan tarafnya diatas bersama-sama filem-filem panjang mahupun drama-drama yang semestinya menarik perhatian masyarakat umum di seluruh dunia. Kehebatan filem pendek tidak boleh dinafikan dan melalui kebijaksaan seseorang pengarah dalam menghasilkan filem pendek, martabatnya kini diiktiraf oleh semua jenis golongan masyarakat terutamanya golongan remaja. Hal ini dapat dibuktikan melalui penghasilan filem pendek dari negara yang sedang bergolak iaitu negara Iran dengan filem pendek yang berdurasi kurang 7 minit berjaya dicalonkan dalam kategori Best Short Film di 2012 Bafta Film Awards. Filem pendek yang dimaksudkan itu bertajuk 2+2=5 yang dijadikan pendahuluan rencana ini.

Menurut Bebbra Charles Mailin, salah seorang pensyarah di Fakulti Filem Teater dan Animasi, filem pendek tidak mempunyai definisi yang khusus, selain daripada durasinya yang tidak melebihi 30 minit, filem pendek mempunyai banyak jenis gaya penyampaiannya. Menerusi gambar yang bergerak dengan jalan penceritaan yang menarik, cara itu juga boleh didefinisikan sebagai filem pendek. “Filem pendek juga tidak semestinya mempunyai skrip untuk dibaca oleh pelakon, ianya tidak ada peraturan selain daripada segi durasi filem yang ditetapkan,“ tambahnya lagi apabila ditanyakan tentang maksud filem pendek dari perspektif beliau.

“Filem pendek adalah sesuatu tempat bagi seseorang untuk mengekpresikan pendapat serta melontarkan idea. Selain itu, individu yang menghasilkan filem pendek ini boleh membezakan seseorang itu mampu berkarya ataupun tidak,” kata pensyarah yang juga merupakan graduan Fakulti Filem, Teater dan Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Berbeza dengan penghasilan filem yang biasa, filem pendek sebenarnya lebih sukar dan rumit untuk dihasikan. Dalam durasi yang amat pendek, pengarah harus memasukkan semua input-input ke dalam filem serta menyelitkan idea-idea kreatif dan mesej yang ingin disampaikan. Dari sinilah kebijaksanaan seseorang pengarah itu ditonjolkan kerana perlu memenuhi semua kriteria yang diingini ke dalam filem pendek yang dihasilkan.

Walaubagaimanapun, idea-idea yang diutarakan sedemikian bergantung kepada objektif utama pengarah. Jika pengarah melakukan dengan tujuan yang tertentu maka ia semua bergantung pada cara pemikiran penonton untuk menilai dari sudut masing-masing. Cara setiap individu menginterpretasi filem amat berbeza. Tidak semua akan memahami mesej yang ingin disampaikan terutama filem-filem pendek yang penuh dengan maksud tersirat dan memerlukan daya pemikiran yang tinggi untuk memahami jalan ceritanya. “Jika aksi-aksi sensitif yang boleh membangunkan kontroversi di dalam sesebuah filem pendek tanpa tujuan, itu bukan filem pendek,” jelas pensyarah yang ditemubual di Fakulti FITA baru-baru ini.

Menjadikan karya-karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad sebagai salah seorang individu yang memberi inspirasi kepadanya, Bebbra Charles Mailin menegaskan bahawa kita tidak perlu pengganti seperti beliau, apa yang kita mahu adalah pelajar-pelajar yang boleh berfikiran kritikan seperti beliau dan melahirkan sebuah karya yang hebat seperti karya-karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad.

Kesimpulannya, bagi mengolah idea atau pendapat ke dalam filem-filem pendek ini seseorang memerlukan sesuatu yang luarbiasa untuk dikongsi dan apa yang penting, jalan penceritaan yang penuh kreatif amat diperlukan dalam mempersembahkan idea. Mengadaptasi daripada novel-novel atau cerita-cerita pendek juga boleh menjadikan filem pendek itu menarik dan berinput. Oleh itu, sama-sama kita hargai hasil-hasil karya filem-filem pendek yang dihasilkan oleh pengarah-pengarah muda, berpengalaman dan baru dalam industri ini dan ambil iktibar serta pengajaran daripada jalan cerita yang ingin disampaikan.

No comments:

Post a Comment